Saturday, 20 July 2013

Politik: Golongan Belia

   Golongan belia pada masa kini memainkan peranan yang sangat penting semasa proses pilihan raya umum berlansung. Pada Pilihan Raya Umum ke-12( PRU-12) yang lalu kekalahan banyak kerusi oleh BN terutama di kawasan bandar banyak didorong oleh sokongan pengundi belia kepada Pakatan Rakyat (PR) ditambah pula wujud krisis dalaman Barisan Nasional yang menyaksikan ramai ahli parti gabungan tersebut terutama ahli UMNO yang bertindak mengundi Pakatan Rakyat. Perkara ini didorong oleh rasa tidak puas hati ahli UMNO khususnya disebabkan sikap pemimpin tertinggi memberi peluang kepada calon muka baru untuk bertanding. 
   Pengaruh pengundi belia ini semakin hebat semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) apabila Pakatan Rakyat telah berjaya menambah bilangan kerusi parlimen kepada 89 berbanding PRU-12 sebanyak 82. Jika dilihat,sokongan pengundi belia ini banyak terarah di kawasan bandar di mana pemikiran pengundi belia bandar adalah berbeza dengan pengundi belia di kawasan luar bandar. Perkara ini banyak didorong oleh perkhidmatan jalur lebar yang lebih baik di kawasan bandar. Semenjak PRU-12, Pakatan Rakyat menggunakan media sosial dan media alternatif bagi menarik lebih ramai sokongan pengundi belia dan ini yang menjadikan sokongan golongan tersebut lebih terarah kepada Pakatan Rakyat.
   Barisan Nasional walaupun dilihat cuba melakukan transformasi bagi menarik sokongan belia melalui media sosial, namun langkah yang diambil masih tidak cukup untuk menarik sokongan golongan tersebut. Secara umumnya, pengundi belia mahukan perubahan dalam ekonomi negara terutama membaitkan isu pekerjaan, penurunan harga barang dan petrol, pemilikan rumah, perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik dan isu keselamatan. 
   Bagi Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan berlansung beberapa tahun yang akan datang, pengaruh pengundi belia ini akan mendorong lebih banyak pembaharuan yang dijanjikan oleh BN dan Pakatan Rakyat bagi memastikan sokongan golongan tersebut milik mereka. Kejayaan merebut sokongan mereka yang akan menentukan perubahan lebih besar dalam sistem politik negara apabila PRU-12 dan PRU-13 telah menunjukan Malaysia telah menuju kepada perubahan yang lebih besar dalam arena politik negara.


p/s: Admin menulis berdasarkan tesis yang dibuat semasa belajar di Universiti Malaysia Sarawak(UNIMAS).

No comments:

Post a Comment